Sunday, October 21, 2007

Livestock Asia 2007 - 23-25 Okt di KLCC Convention Centre


Kami mendapat jemputan untuk menghadiri satu expo mengenai industri penternakan yang dinamakan Livestock Asia 2007, di KLCC Convention Centre, pada 23 hingga 25 Oktober 2007. Maklumat lanjut tentang expo ini, boleh dapati di www.livestockasia.com atau register online di http://www.ambexpo.com.

Diharap semua dapat hadir untuk menyaksikan teknologi terkini alam penternakan di Asia. Tahun 2006, expo ini diadakan di Pakistan.

Sunday, October 7, 2007

Program intensif 6 bulan - jantan

Berikut adalah beberapa maklumat mengenai penyelidikan dan pengalaman kami untuk perkongsian dan perbincangan penternak kambing sembelihan yang lain. Program penternakan intensif yang kami namakan - projek 6 bulan jantan - adalah untuk pengeluaran baka-baka jantan untuk tujuan sembelihan dalam masa 6 bulan atau kurang. Targetnya cukup mudah, keluarkan jantan seberat 30 kg ke atas, paling lama 6 bulan. Program ini memudahkan kita 'keep track' dengan waktu dan tempahan yang ada, dan memastikan pengeluaran kita sentiasa mengikut spesikasi yang dikehendaki, dengan pengiraan kos pengeluaran yang dijangka. Kerana, kehendak market semeblihan dalah berdasarkan faktor berat. Lebih cepat berat dicapai, lebih cepat dapat dijual.

Namun begitu, maklumat ini adalah apa yang berlaku dikandang kami.. Lain kandang, mungkin lain hasilnya.. malah mungkin dengan cara yang sama, boleh membuahkan hasil yang lebih baik daripada kami.

Kami pecahkan penghasilan ternakan yang baik kepada beberapa faktor.

Pertama : Baka
Pada telitian kami, baka Boer merupakan baka yang paling cepat menghasilkan berat. Berbanding baka lain, seperti AngloNubian atau Jamnapari, Boer lebih cepat 'gain weight'. Walaupun, badan baka Boer tidak tinggi dan panjang, tetapi kepadatan daging dibadan cukup untuk menjadikan beratnya cepat mencapai target. Kacukan Boer (Boer-Cross) juga mempunyai prestasi yang baik, di mana anak kambing akan mempunyai kriteria padat daging dan tinggi/panjang badan. Namun, pada kami, lebih banyak darah Boer pada baka tersebut, adalah lebih cepat. Lahir-lahir saja, anak Boer sudah boleh lawan 'bodybuilding'....

Namun begitu, baka Boer di kandang kami tidak menghasilkan kembar yang banyak. Paling tinggi kembar 2. Average Boer dalam 1.5 ekor. Berbanding AngloNubian, biasa dapat kembar 3 - terutama kalau ibu dah 2-3 kali beranak. Average Anglo saya 2.2 ekor.

Jadi, baka Boer cepat gain weight.. tapi bilangan kekembaran agak sedikit berbanding Anglo. Kami sedang mengkaji baka Boer-cross-Anglo.. sekiranya boleh mendapat hasil yang lebih dari segi kekembaran dan weight gain.

Kedua : Penjagaan ketika kelahiran
Kelahiran kembar merupakan kegembiraan kepada penternak. Paling banyak yang pernah kami terima kelahiran kembar 4. Namun begitu, anak kambing kembar terpaksa share sumber makanan dan susu awal dengan kembarnya. Adalah penting untuk memastikan anak kambing mendapat cukup susu ibu ketika lahir. Kebanyakkan anak kambing kami yang lambat membesar, adalah yang mempunyai masalah ketika penyusuan ibu.. antaranya kena sakit sebaik selepas lahir, ibu kurang susu, ibu mati, ibu tidak sayang anak, etc...

Paling cantik kalau kembar dua, jadi cukup untuk anak-anak kambing ini menyusu. Faktor ibu juga penting dalam memastikan anak kambing cepat besar. Ibu kambing yang mempunyai susu yang banyak akan menyebabkan anaknya cepat membesar dan gain weight. Sebab itu, kesihatan ibu kambing selepas melahirkan sangat penting. Pasti ibu mendapat rawatan secukupnya, dan makanan perlu lebih soya (untuk susu). Kalau nak kasi dedak mahal sikit pun tak apa..

Apa yang penting, walaupun ketika lahir (terutama kelahiran kembar), anak kambing mepunyai saiz yang kecil, tetapi jika mendapat penyusuan yang cukup dan sempurna, anak kambing tersebut akan cepat gain weight.

Ketiga : Ajar anak kambing cepat pisah dari ibu
Apabila telah melepasi stage kritikal lepas beranak dan penyusuan awal, kita mesti cepat mengajar anak kambing mula melupakan susu ibu dan boleh berpisah darinya. Kerana, ia perlu diprogramkan untuk program pembesaran intensif dengan pemakanan yang lain. Proses biasa adalah selama 2 bulan. Untuk lebih cepat pisah, kita boleh buat dengan berperingkat bermula dari usia 6-7 minggu. Sebelum itu, kita perlu perkenalkan makanan lain kepada anak-anak kambing selepas 2 minggu, supaya mereka mula memakan makanan selain susu ibu. Sekiranya dah boleh makan dedak dan rumput, maka sudah sesuai untuk dipisahkan. Kita sudah boleh mengasingkan anak kambing tadi di lain kandang, dan disediakan makanan rumput dan dedak. Ia hanya boleh dilepaskan untuk bersama dan menyusu ibunya hanya 2 kali sehari (pagi dan petang), dan seminggu kemudian sekali sehari, dan kemudian terus pisah.

Tapi, perlu diingat, tak semua anak kambing yang boleh menyesuaikan diri dengan cepat. Jadi penelitian terhadap perkembangan selepas dipisahkan adalah penting. Kalau yang jenis tak lalu makan lepas dipisah, perlu dikembalikan kepada ibunya dan cuba lagi setelah beberapa ketika.

Pemisahan yang lebih cepat akan menyebabkan lebih cepat anak kambing tadi makan makanan selain susu, dan diprogramkan untuk penggemukan intensif. Ibu juga boleh dikahwinkan semula dengan lebih cepat.

Ada satu lagi cara, iaitu meletakkan Pejantan dalam kandang bersama ibu dan anak kambing setelah mulai masuk 2 bulan lepas bersalin. Apabila ibu kambing mula bunting, maka secara semulajadi ia akan memisahkan diri daripada anaknya.

Keempat : Kesihatan
Kesihatan merupakan satu lagi faktor yang memainkan peranan penting terhadap tumbesaran anak kambing. Pastikan anak kambing menerima penjagaan yang baik, dan bebas daripada penyakit. Penyakit paling kerap dikandang kami adalah berak cair, puru, selsema dan kutu. Setiap penyakit yang menjangkiti anak kambing perlu dirawat segera supaya ia tidak menganggu proses pembesarannya.

Sebab itu, bahan mineral dan vitamin perlu sentiasa ada. Kami setakat ini menggunakan jenis berbentuk jilatan dan injection. Sedang mencuba-cuba produk yang terbaik. Pada pengalaman kami, anak kambing yang menghidapi penyakit selepas beberapa hari dilahirkan, mempunyai kadar kematian yang tinggi. Jika kena sakit selepas 2-3 minggu dilahirkan, ia mungkin boleh survive, tetapi pembesaran akan terganggu.

Selalu anak kambing yang tidak mempunyai masalah kesihatan, akan mempunyai susunan bulu yang bersih dan nipis. Anak kambing bermasalah, akan mempunyai bulu yang agak tebal dan tidak terurus..

Kelima : Makanan
Untuk meningkatkan berat tentunya faktor makanan, merupakan perkara terpenting perlu diberi perhatian. Pada pengalaman kami, untuk peningkatan berat yang cepat makanan perlu ada setiap masa. Ertinya, kitaran menu makan perlu kerap dan sentiasa memenuhi keperluan selera kambing. Makanan tidak semestinya dedak yang berprotein tinggi dengan harga yang mahal. Walaupun dedak berprotein tinggi ini diperlukan, tetapi cukup sekadar pelengkap. Yang lebih utama, bagaimana nak pastikan kambing memakan makanan lain seperti rumput potong, batang jagung, hampas soya, hampas sagu, dll yang lebih murah.

Adalah penting untuk memastikan kambing sentiasa berselera, dan makan dengan banyaknya dan kekerapan yang selalu. Sekiranya kita berjaya menanam minat memakan pada kambing ini, sudah tentu berat cepat akan meningkat.

Menu kami - Pagi, makan dedak sekitar 300g seekor. Selepas itu, berikan napier potong atau silaj. Kemudian petang, ketika lepaskan kambing ibu ke padang ragut, kambing jantan (yg tak lepas) kami hidang dengan napier potong atau silaj. Lewat petang, kasi lagi sedikit dedak dalam 200g beserta silaj dan napier potong.

Kami hanya gunakan dedak protein tinggi (mostly Sunsun).. Bekalan hampas soya, batang jagung dan sagu, yang mana dapat, akan diberikan petang.