Friday, November 16, 2007

Beberapa maklumat untuk dikongsi bersama

Terima kasih kepada beberapa feedback pengunjung yang diberikan. Kami memang berharap blog ini akan menjadi satu medan perbincangan dan maklum balas mengenai penternakan kambing, berdasarkan aktiviti dan kajian secara praktikal dikandang kami.

Sebagai tambahan maklumat dalam topik susukan anak kambing anda, kami dapati adalah perlu menyuakan susu tambahan kepada anak kambing seawal mungkin, iaitu bermula beberapa jam selepas dia bersalin. Kalau dah lambat, kemungkinan besar dia tak akan minum. Satu lagi, pastikan puting dan botol susu sentiasa disterilkan.. untuk membuang saki baki susu basi. Caranya, dengan merendamkan botol dan puting susu dalam air panas. Susu basi mempunyai bakteria yang boleh bawa penyakit kepada anak kambing anda.. Diingatkan, jangan MALAS nak sterilkan botol susu anda. Cubalah susukan anak kambing anda, pasti anda akan berpuashati dengan resultnya...

Ramai bertanya tentang khasiat silaj. Apa yang kami sebutkan merupakan hasil secara praktikal dikandang kami. Untuk yang lebih saintifik, boleh lawati http://www.jphpk.gov.my/Malay/Agronomi/Silaj.htm , iaitu kajian yang dibuat oleh Jab Haiwan Perak.

Tuesday, November 13, 2007

Projek silaj mendapat nafas baru

Lama sungguh kami mencari-cari, akhirnya dapat juga berjumpa dan membuat perjanjian dengan sebuah ladang jagung, yang berjanji untuk membekalkan kami keratan batang jagung secara konsisten. Untuk itu, kami telah menambahkan bilangan tong silo menjadi 40 tong, dan bercadang untuk memulakan projek menghasilkan silaj sebagai sumber makanan alternatif kepada dedak palet.

Kami telah mencuba silaj dengan skala kecil dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan hasilnya... sungguh MEMBERANGSANGKAN... Kami dapati silaj mempunyai khasiat yang tinggi dan tidak jauh bezanya daripada dedak palet. Malah, oleh kerana harganya yang lebih murah, kami mampu memberikan lebih banyak kuantiti silaj kepada ternakan kambing kami menjadikan tahap kegemukkan ternakan menjadi lebih cepat.

Sebanyak 1 tan keratan batang jagung akan digunakan dan diperap dalam tong-tong silo kami, dan mengharapkan penggunaannya selepas 3 minggu. Berikut adalah cara-cara yang cukup mudah untuk membuat silaj jagung :

1. Kerat batang jagung pada kadar 1/2 inci (biasanya dimesin chopper)
2. Masukkan keratan jagung ke dalam tong silo (sebuah tong silo biasanya boleh memuatkan 50-60kg keratan jagung).
3. Campurkan 1kg Molas dan 1kg garam ke atas keratan jagung dalam tong silo tersebut.
4. Tutup tong silo ketat dan biar selama 3 minggu sebelum digunakan.

Nota : Kami mendapat saranan untuk menggunakan EM sebagai salah satu kandungan, namun masih belum mendapat sebarang feedback daripada pengusaha EM mengenainya.

Kami juga sedang mencuba menu baru berasaskan hasil buangan industri seperti hampas kelapa dan soya. Terima kasih kepada beberapa individu yang telah sudi berkunjung ke ladang kami, dan telah sama-sama memberikan tunjuk ajar dan idea terhadap usaha ini. Insya-Allah, jika ujian praktikal yang kami buat sendiri kepada ternakan kami menunjukkan hasil yang positif, kami akan perturunkan menu tersebut untuk panduan umum.

Monday, November 5, 2007

Susukan anak kambing anda..!!

Sebaik lahir, anak kambing amat memerlukan susuan ibu yang mencukupi. Sekiranya ia menghadapi masalah, besar kemungkin anak kambing tersebut akan mati atau terbantut pembesarannya. Berdasarkan pemerhatian kami, susu adalah makanan terawal yang perlu dipastikan diminum oleh anak kambing. Lebih banyak susu yang dapat diminum, lebih cepat pembesaran anak kambing tersebut.

Anak kambing yang baru lahir perlu susu ibu yang mencukupi

Selama ini, kami hanya bergantung dengan susu ibu kambing. Selalunya ibu kambing yang mempunyai susu yang banyak akan mempunyai anak-anak kambing yang sihat dan besar. Kami sedang mencuba satu teknik 'susukan anak kambing'.. Kami cuba berikan susu tepung sebagai supplement tambahan kepada susu ibu yang sedia ada. Dulu, hanya kambing bermasalah susu yang kami berikan susu tepung ini.

Setiap anak kambing akan diberikan susu tambahan menggunakan botol

Bagi teknik ini, walaupun sudah menyusu dengan ibu mereka, kami akan cuba suakan lagi anak-anak kambing dengan susu tambahan. Targetnya, supaya anak kambing mengambil susu sebanyak yang mungkin. Kami sedang memerhati sama ada ianya akan membuahkan hasil yang lebih baik.

Sunday, October 21, 2007

Livestock Asia 2007 - 23-25 Okt di KLCC Convention Centre


Kami mendapat jemputan untuk menghadiri satu expo mengenai industri penternakan yang dinamakan Livestock Asia 2007, di KLCC Convention Centre, pada 23 hingga 25 Oktober 2007. Maklumat lanjut tentang expo ini, boleh dapati di www.livestockasia.com atau register online di http://www.ambexpo.com.

Diharap semua dapat hadir untuk menyaksikan teknologi terkini alam penternakan di Asia. Tahun 2006, expo ini diadakan di Pakistan.

Sunday, October 7, 2007

Program intensif 6 bulan - jantan

Berikut adalah beberapa maklumat mengenai penyelidikan dan pengalaman kami untuk perkongsian dan perbincangan penternak kambing sembelihan yang lain. Program penternakan intensif yang kami namakan - projek 6 bulan jantan - adalah untuk pengeluaran baka-baka jantan untuk tujuan sembelihan dalam masa 6 bulan atau kurang. Targetnya cukup mudah, keluarkan jantan seberat 30 kg ke atas, paling lama 6 bulan. Program ini memudahkan kita 'keep track' dengan waktu dan tempahan yang ada, dan memastikan pengeluaran kita sentiasa mengikut spesikasi yang dikehendaki, dengan pengiraan kos pengeluaran yang dijangka. Kerana, kehendak market semeblihan dalah berdasarkan faktor berat. Lebih cepat berat dicapai, lebih cepat dapat dijual.

Namun begitu, maklumat ini adalah apa yang berlaku dikandang kami.. Lain kandang, mungkin lain hasilnya.. malah mungkin dengan cara yang sama, boleh membuahkan hasil yang lebih baik daripada kami.

Kami pecahkan penghasilan ternakan yang baik kepada beberapa faktor.

Pertama : Baka
Pada telitian kami, baka Boer merupakan baka yang paling cepat menghasilkan berat. Berbanding baka lain, seperti AngloNubian atau Jamnapari, Boer lebih cepat 'gain weight'. Walaupun, badan baka Boer tidak tinggi dan panjang, tetapi kepadatan daging dibadan cukup untuk menjadikan beratnya cepat mencapai target. Kacukan Boer (Boer-Cross) juga mempunyai prestasi yang baik, di mana anak kambing akan mempunyai kriteria padat daging dan tinggi/panjang badan. Namun, pada kami, lebih banyak darah Boer pada baka tersebut, adalah lebih cepat. Lahir-lahir saja, anak Boer sudah boleh lawan 'bodybuilding'....

Namun begitu, baka Boer di kandang kami tidak menghasilkan kembar yang banyak. Paling tinggi kembar 2. Average Boer dalam 1.5 ekor. Berbanding AngloNubian, biasa dapat kembar 3 - terutama kalau ibu dah 2-3 kali beranak. Average Anglo saya 2.2 ekor.

Jadi, baka Boer cepat gain weight.. tapi bilangan kekembaran agak sedikit berbanding Anglo. Kami sedang mengkaji baka Boer-cross-Anglo.. sekiranya boleh mendapat hasil yang lebih dari segi kekembaran dan weight gain.

Kedua : Penjagaan ketika kelahiran
Kelahiran kembar merupakan kegembiraan kepada penternak. Paling banyak yang pernah kami terima kelahiran kembar 4. Namun begitu, anak kambing kembar terpaksa share sumber makanan dan susu awal dengan kembarnya. Adalah penting untuk memastikan anak kambing mendapat cukup susu ibu ketika lahir. Kebanyakkan anak kambing kami yang lambat membesar, adalah yang mempunyai masalah ketika penyusuan ibu.. antaranya kena sakit sebaik selepas lahir, ibu kurang susu, ibu mati, ibu tidak sayang anak, etc...

Paling cantik kalau kembar dua, jadi cukup untuk anak-anak kambing ini menyusu. Faktor ibu juga penting dalam memastikan anak kambing cepat besar. Ibu kambing yang mempunyai susu yang banyak akan menyebabkan anaknya cepat membesar dan gain weight. Sebab itu, kesihatan ibu kambing selepas melahirkan sangat penting. Pasti ibu mendapat rawatan secukupnya, dan makanan perlu lebih soya (untuk susu). Kalau nak kasi dedak mahal sikit pun tak apa..

Apa yang penting, walaupun ketika lahir (terutama kelahiran kembar), anak kambing mepunyai saiz yang kecil, tetapi jika mendapat penyusuan yang cukup dan sempurna, anak kambing tersebut akan cepat gain weight.

Ketiga : Ajar anak kambing cepat pisah dari ibu
Apabila telah melepasi stage kritikal lepas beranak dan penyusuan awal, kita mesti cepat mengajar anak kambing mula melupakan susu ibu dan boleh berpisah darinya. Kerana, ia perlu diprogramkan untuk program pembesaran intensif dengan pemakanan yang lain. Proses biasa adalah selama 2 bulan. Untuk lebih cepat pisah, kita boleh buat dengan berperingkat bermula dari usia 6-7 minggu. Sebelum itu, kita perlu perkenalkan makanan lain kepada anak-anak kambing selepas 2 minggu, supaya mereka mula memakan makanan selain susu ibu. Sekiranya dah boleh makan dedak dan rumput, maka sudah sesuai untuk dipisahkan. Kita sudah boleh mengasingkan anak kambing tadi di lain kandang, dan disediakan makanan rumput dan dedak. Ia hanya boleh dilepaskan untuk bersama dan menyusu ibunya hanya 2 kali sehari (pagi dan petang), dan seminggu kemudian sekali sehari, dan kemudian terus pisah.

Tapi, perlu diingat, tak semua anak kambing yang boleh menyesuaikan diri dengan cepat. Jadi penelitian terhadap perkembangan selepas dipisahkan adalah penting. Kalau yang jenis tak lalu makan lepas dipisah, perlu dikembalikan kepada ibunya dan cuba lagi setelah beberapa ketika.

Pemisahan yang lebih cepat akan menyebabkan lebih cepat anak kambing tadi makan makanan selain susu, dan diprogramkan untuk penggemukan intensif. Ibu juga boleh dikahwinkan semula dengan lebih cepat.

Ada satu lagi cara, iaitu meletakkan Pejantan dalam kandang bersama ibu dan anak kambing setelah mulai masuk 2 bulan lepas bersalin. Apabila ibu kambing mula bunting, maka secara semulajadi ia akan memisahkan diri daripada anaknya.

Keempat : Kesihatan
Kesihatan merupakan satu lagi faktor yang memainkan peranan penting terhadap tumbesaran anak kambing. Pastikan anak kambing menerima penjagaan yang baik, dan bebas daripada penyakit. Penyakit paling kerap dikandang kami adalah berak cair, puru, selsema dan kutu. Setiap penyakit yang menjangkiti anak kambing perlu dirawat segera supaya ia tidak menganggu proses pembesarannya.

Sebab itu, bahan mineral dan vitamin perlu sentiasa ada. Kami setakat ini menggunakan jenis berbentuk jilatan dan injection. Sedang mencuba-cuba produk yang terbaik. Pada pengalaman kami, anak kambing yang menghidapi penyakit selepas beberapa hari dilahirkan, mempunyai kadar kematian yang tinggi. Jika kena sakit selepas 2-3 minggu dilahirkan, ia mungkin boleh survive, tetapi pembesaran akan terganggu.

Selalu anak kambing yang tidak mempunyai masalah kesihatan, akan mempunyai susunan bulu yang bersih dan nipis. Anak kambing bermasalah, akan mempunyai bulu yang agak tebal dan tidak terurus..

Kelima : Makanan
Untuk meningkatkan berat tentunya faktor makanan, merupakan perkara terpenting perlu diberi perhatian. Pada pengalaman kami, untuk peningkatan berat yang cepat makanan perlu ada setiap masa. Ertinya, kitaran menu makan perlu kerap dan sentiasa memenuhi keperluan selera kambing. Makanan tidak semestinya dedak yang berprotein tinggi dengan harga yang mahal. Walaupun dedak berprotein tinggi ini diperlukan, tetapi cukup sekadar pelengkap. Yang lebih utama, bagaimana nak pastikan kambing memakan makanan lain seperti rumput potong, batang jagung, hampas soya, hampas sagu, dll yang lebih murah.

Adalah penting untuk memastikan kambing sentiasa berselera, dan makan dengan banyaknya dan kekerapan yang selalu. Sekiranya kita berjaya menanam minat memakan pada kambing ini, sudah tentu berat cepat akan meningkat.

Menu kami - Pagi, makan dedak sekitar 300g seekor. Selepas itu, berikan napier potong atau silaj. Kemudian petang, ketika lepaskan kambing ibu ke padang ragut, kambing jantan (yg tak lepas) kami hidang dengan napier potong atau silaj. Lewat petang, kasi lagi sedikit dedak dalam 200g beserta silaj dan napier potong.

Kami hanya gunakan dedak protein tinggi (mostly Sunsun).. Bekalan hampas soya, batang jagung dan sagu, yang mana dapat, akan diberikan petang.

Saturday, September 22, 2007

Menubuhkan persatuan penternak kambing

Kami ingin mengajak semua penternak kambing untuk sama-sama menjayakan penubuhan persatuan penternak kambing, sila lawati yahoogroup di bawah, dan letakkan maklumat anda di ruangan database.

groups.yahoo.com/group/kambingboer/

Penubuhan persatuan ini sedang dalam proses mengumpulkan maklumat. Kami cuba untuk menempatkan persatuan ini, sebagai salah satu persatuan penternak kambing yang akan membincangkan dan mengutarakan sebarang masalah penternak, terutama penternak baru dan kecil, hingga ke peringkat Kementerian. Lebih banyak maklumat boleh didapati daripada yahoogroup tersebut.

Sunday, September 16, 2007

Mencari alternatif kepada dedak


Heboh beberapa hari ini dengan kenaikan harga ayam, akibat kenaikan harga dedak. Bukan setakat harga ayam, hampir kesemua barang keperluan naik di Melaka, terutama dalam bulan Ramadhan ini.


Hal yang sama berlaku kepada harga dedak kambing. Kilang Pallet Biopalma Felda telah mengisytiharkan kenaikan harga Pallet Biopalma bermula 1 September 2007. Pallet Biopalma Feedlot telah naik RM2 dan Pallet Biopalma Kambing pula sebanyak RM1.


Kenaikan harga dedak yang semakin naik, sudah tentu akan menaikkan harga kambing tempatan dalam masa beberapa bulan. Ini akan menjadikan daging tempatan semakin mahal berbanding daging import. Satu perkara yang perlu difikirkan oleh semua pihak...


Projek silaj kami masih tergendala kerana belum mendapat bekalan batang jagung yang tetap. Mungkin terpaksa menunggu hingga selepas Hari Raya Puasa nanti.. Banyak respon yang kami terima mengenai projek silaj ini, menunjukkan semakin ramai penternak yang tertekan dengan kenaikan demi kenaikan harga dedak. Sebenarnya masih banyak ruang pengkajian mengenai penggunaan silaj, mahu pun makanan aternatif kambing di Malaysia yang masih boleh diterokai.


Kami amat mengalu-alukan mana-mana penternak yang dapat memberikan menu-menu yang kurang berasaskan dedak, untuk kegunaan penternak lain.

Anak kambing berusia 3-4 bulan di kandang kambing FAD. Sedang mencari menu yang lebih murah untuk penggemukkan...



Friday, August 31, 2007

Mineral Block untuk kambing

Baru-baru ini kami kehabisan mineral block - garam jilat untuk kambing. Setelah membuat sedikit pencarian, kami bertemu dengan pembekal Jukimas, dan mereka membekalkan kami mineral block berjenama Royal, yang diimport daripada Turki. Harganya juga boleh la.. untuk garam 3 kg, kami dapat kurang daripada RM10.. Tapi, ia hanya garam mineral biasa..

Membuat sedikit study di internet, rupanya teknologi garam jilat ini sudah lebih maju diluar negara. Ada pelbagai jenama, yang bersaing dan mempunyai mutu garam jilat yang disertakan dengan pelbagai vitamin dan ubatan didalamnya. Antara jenama yang menarik minat saya adalah Stockase (www.stockadebrands.com) dan Sweetlix (www.sweetlix.com).

Walaupun kebanyakkan mineral ini dicipta untuk menampung kekurangan zat makanan ketika menghadapi musim sejuk, tetapi kandungan pelbagai vitamen dan mineral yang diadunkan dalam mineral block tersebut cukup menarik. Ada juga yang dicipta untuk menangani penyakit kembung, nyah kutu/cacing, dsb. Ada juga mineral yang dicipta untuk set lembu/kambing baru bersalin, dsb..

Syarikat pengeluar di Malaysia, masih belum sampai tahap pengeluarannya hingga boleh menyaingi kualiti produk luar negara. Adalah perlu syarikat pengeluar di Malaysia membuat sedikit penyelidikan dan mengeluarkan produk tersebut untuk menaikkan lagi mutu ternakan di Malaysia.

Pengunjung Blogger Kambingku mencecah 1000

Nampaknya blog-blog perternakan kambing khususnya semakin mendapat perhatian. Tak sangka blog kami boleh mencapai 1000 hit.. Kepada para pengunjung yang telah melawati blog kami, kami ucapkan terima kasih, terutama yang telah memberikan comment membina, mahupun pertanyaan untuk berkongsi maklumat.

Juga kepada blogger kambing yang lain, yang juga dilihat meng'list'kan blog kami. Sebenarnya, kita perlukan persatuan yang kuat untuk sama-sama maju.. dan bukan bersaing sambil saling membunuh perniagaan orang lain..

Semoga segala maklumat yang diberikan dapat digunakan oleh rakan ternak yang lain, untuk sama-sama mebina perniagaan yang berjaya.

Tuesday, August 14, 2007

Projek Silaj Bermula

Baru-baru ini harga dedak kambing naik lagi RM2 per bag... Kos dedak yang semakin meningkat, mendesak kami mencari makanan alternatif yang lebih murah tetapi berkhasiat. Nampaknya projek silaj yang kami pernah war-warkan dahulu, perlu dijalankan dalam kadar segera. Kini, segala peralatan untuk membuat silaj telah kami perolehi. Tong silo yang jenuh kami cari, rupanya boleh didapati dengan mudah dibeberapa tempat di Melaka..

Inilah tong silo yang selama ini dicari... 10 unit untuk percubaan menu

Target kami untuk mengurang kos makanan, yang kini telah mencecah 50 sen sekilogram, kepada hanya 15 sen sekilogram. Azam kami supaya makanan silaj ini menjadi pencabar kuat kepada pasaran dedak (agar mereka memikirkan harga mereka yang semakin meningkat itu...). Sekiranya kualiti silaj ini terbukti boleh menghasilkan komposisi pemakanan yang berkesan kepada kambing, Insya-Allah silaj akan dapat menemui pasaran pada harga yang jauh lebih murah daripada harga pallet.

Tong ini boleh memuatkan lebih 60kg silaj jagung/napier...

Kandang Tambahan Siap Akhirnya

Kandang Fasa II Projek FAD

Alhamdulillah.. Projek Ternakan FAD terus melangkah gagah. Fasa II penambahan kandang telah siap sepenuhnya, dan mula digunakan hari ini. Kandang tambahan kini mempunyai 10 lot yang boleh memuatkan 12-14 ekor kambing setiap satu.

Rumah panjang 10 bilik sudah siap...

Proses meminyakkan kandang telah selesai, dan kami mula memasukkan kambing. Insya-Allah, dengan kapasiti ini, kami boleh menambah bilangan induk kepada 100 ekor (50% daripada target projek kami..). Kini kami sibuk membuka tempahan kepada produk-produk kami. Target kami, untuk menjual baka Boer setelah berusia 6 bulan, dengan kadar berat sekitar 35-40kg (sangat sesuai untuk pasaran daging..). Para pengusaha masakan Beriyani, kami alu-alukan anda mencuba daging kambing kami ini....

Penginap pertama : Untuk test kualiti kandang sebelum digunakan sepenuhnya

Sunday, August 12, 2007

Perlunya kerjasama antara penternak

Pagi tadi kami membuat lawatan sambil belajar ke kandang projek Interxpose di Setulang Daing, Melaka. Asalnya kami ingin melihat mesin pemotong rumput yang diiklankan. Namun, kami berkesempatan untuk melawat ke kandang projek. Apa yang menarik, Interxpose menawarkan pakej kambing pawah, satu usahama menternak kambing kepada mereka yang belum mempunyai pengalaman dan modal besar.

Kami sempat bertemu dengan Cikgu Mahmud, tuanpunya projek. Dalam perbincangan singkat, kami sempat membincangkan beberapa faktor yang menjadi masalah penternak kecil seperti kami. Antaranya, kenaikan harga dedak yang semakin melampau, pasaran yang banyak, tetapi tidak dapat dipenuhi kerana kekerdilan operasi, dan sebagainya.

Harga dedak melambung menjadi dilema penternak kecil

Maka tercetus idea kami untuk kita bergabung tenaga dalam sebuah persatuan penternak kambing di Melaka, untuk berbincang dan mencari penyelesaian tentang pelbagai perkara berkaitan dengan masalah penternak kecil. Mungkin sebagai permulaan, kalau dapat 2-3 penternak pun sudah memadai untuk kami berbuat sesuatu. Insya-Allah,

Saturday, August 4, 2007

Lama kucari akhirnya ketemu jua

Setelah sekian lama membuat marketing, sana sini bertemu potensi pelanggan, akhirnya dapat juga satu kontrak mengambil kambing kami apabila mencukupi beratnya. Kami 'lego' sebagai pelanggan pertama dengan harga cukup istimewa... RM14 sekilo sahaja.. Mana nak dapat harga semurah tu, baka Boer tu... Target pengeluaran untuk order ini adalah 10 ekor sebulan.. Cukuplah untuk cover operating cost setakat ini, dan pemberi semangat untuk kami lebih berusaha.

Selepas ini boleh la buat beberapa eksperimental project untuk memperbaiki sistem pemakanan dan penjagaan. Market yang ada perlu dijaga dengan mengeluarkan produk yang baik untuk kepuasan pelanggan. Kami juga sedang mengkaji dan bercadang untuk 'improve' pemakanan untuk mempercepatkan pembesaran. Setakat ini, untuk mencapai berat yang dikehendaki, kami perlu selama average 7-8 bulan. Target kami, untuk mengeluarkan baka dan sistem makanan yang boleh keluar dalam masa 5-6 bulan sahaja.

Semoga usaha ini terus mendapat sokongan dan bantuan semua. Kepada penternak yang lain, usaha adalah tangga kejayaan. Rajin membuat marketing, InsyaAllah satu hari anda akan ketemu jua dengan pelanggan yang dicari.

Kami mencadangkan rakan penternakan lain dapat sentiasa berhubung dan bekerjasama dalam membekalkan daging kambing ke pasaran Malaysia. Mungkin persatuan penternak kambing Boer perlu diwujudkan untuk memudahkan perkongsian ilmu didalam bidang ini.

Saturday, June 30, 2007

Progres Kandang Kedua

Kandang tambahan Projek FAD

Kandang tambahan kami hampir dapat diselesaikan. Walaupun, berdasarkan rekod atas kertas yang diberikan Jabatan, jumlah peralatan yang diberikan cukup untuk menampung sebuah kandang bersaiz 40kaki x 50kaki.. Namun, setelah dimulakan pembinaannya, ternyata ia hanya boleh menampung separuh daripada saiz yang sepatutnya.

Peruntukan kayu hanya cukup separuh daripada saiz sepatutnya

Nampaknya perlulah disiapkan juga walaupun hanya separuh dari saiz asal. Perancangan kami untuk menyambung kandang tersebut apabila mempunyai lebih modal dimasa akan datang.

Lebih luas dan selesa..

Walaupun mendapat bantuan dalam bentuk kayu, pasir, simen dan zink, terdapat juga beberapa kekurangan yang perlu kami tampung untuk menyiapkan kandang tersebut. Setakat ini, kami telah membelanjakan hampir RM10k untuk pembangunan, termasuk meningkatkan taraf keselamatan kandang.

Mudah-mudahan segala usaha kami diberkati Allah, dan projek ini berterusan mendapat pertolonganNya

Friday, June 29, 2007

Tempahan baja tahi kambing

Alhamdulillah, projek kami mula mendapat perhatian. Terbaru kami mendapat tempahan menyediakan baja semulajadi kepada sebuah syarikat pertanian. Walaupun, hasil tempahan tidaklah seberapa, tetapi setiap pasaran pasti melegakan. Sekurang-kurangnya, kami dapat memastikan bahan buangan projek kami dapat dipasarkan mengikut skala dan waktu yang tertentu.
Kerja-kerja packing sedang dijalankan

Kami bercadang untuk mengeluarkan produk baja kompos yang lebih tersusun, dan dipak dengan lebih cantik dan menarik. Sekiranya diizinkan Allah, dapatlah projek kami menghasilkan baja tanaman semulajadi berjenama sendiri. Kami sedang mengkaji beberapa teknik membuat baja, serta peralatan yang diperlukan. Cuma, sekali lagi, kos permulaan menyediakan peralatan menjadi faktor yang paling perlu difikirkan......

Baja semulajadi FAD

Wednesday, June 27, 2007

Padang lepas

Berlegar-legar di padang lepas waktu petang

Sebagai persiapan untuk menampung kapasiti kambing yang lebih besar, kami terpaksa menyewa tanah kosong disebelah kandang kami, untuk dijadikan tempat perlepasan dan meragut. Untuk waktu sekarang, tanahnya masih kosong dengan sedikit rumput liar kurang khasiat untuk kambing..

Kami bercadang untuk menjadikan kawasan ini sebagai kawasan rumput kuda. Benih rumput kuda telah lama kami beli ketika MAHA 2006 lalu, namun masih disimpan kerana belum menemui tempat yang sesuai untuk menanamnya. Sekiranya menjadi kenyataan, kawasan ini akan menjadi salah satu tempat lepas selangan di waktu petang.

Kawasan ini juga akan kami pagari dengan pagar chain link disekelilingnya. Kami sedang memikirkan rumput memanjat yang sesuai untuk ditanam menjalari pagar tersebut. Ini akan memastikan peggunaan sepenuhnya kawasan tersebut. Mudah-mudahan hasrat kami menjadikan kawasan ini taman idaman kambing yang penuh dengan makanan berkhasiat disekitarnya…akan tercapai...

Tuesday, June 26, 2007

Mempelbagaikan sumber makanan

Kenaikan kos dedak semakin hari menyebabkan industri kambing negara terpaksa menaikkan harga. Dalam konteks kerajaan menggalakkan semakin ramai petani kecil meceburi bidang penternakan kambing, harga dedak terus naik seperti pasaran saham pula..

Sebagai alternatif kepada dedak, kami mencari-cari formula terbaik untuk pembesaran kambing yang seimbang. Silaj jagung merupakan menu dalam percubaan. Kini, kami mencuba pula rumput napier potong..

Berselera sekali menjamah menu Napier Potong

Oleh kerana, rumput napier ini, apabila dibiar lama, akan membesar seperti pokok tebu. Kami berusaha sedikit untuk memotong kecil-kecil (2-3 inci) rumput dan batang napier ini. Nampaknya kambing sangat menyukai menu ini. Batang napier yang dipotong kecil dimamah bagaikan keropok (sampai bunyi berkerup.. sungguh menyelerakan..). Jika dibiarkan makan rumput napier yang tidak dipotong, kambing akan hanya makan daun napier sahaja, meninggalkan batang napier.

Cuma menu ini memerlukan sedikit tenaga manusia. Ia mungkin lebih sesuai dibuat apabila kami mempunyai mesin memotong yang sesuai.

Monday, June 25, 2007

Kandang Tambahan 'In Progress'

Projek pembangunan kandang tambahan telah pun bermula. Kali ini kandang kami akan lebih tinggi daripada konsep kandang pangkin sebelum ini. Untuk tapak simen bagi saiz 25kaki x 100kaki memerlukan 4 lori simen. Bagi tiang asas, kami menggunakan PVC 6” dengan konkrit. Ia lebih kukuh berbanding tiang kayu, apatahlagi keadaan lantai nanti akan selalu ditembak air (untuk pengumpulan tahi kambing).

Pada asalnya kami diberitahu bantuan kayu yang diperuntukkan adalah untuk kandang bersaiz 40kaki x 50kaki. Tapi, setelah berbincang dengan tukang kami, bilangan kayu yang diterima jauh tidak mencukupi dari saiz itu.. Hmm… Jangan-jangan ada ketirisan. Kami bercadang untuk memanggil orang Jabatan apabila telah kandang telah mula naik..

Doakan projek ini terus mendapat keberkatan Allah, dan sambutan daripada para pelanggan.

Thursday, June 21, 2007

Antara 2 baka

Kami bertuah kerana dapat merakamkan gambar ini. Ia sekurang-kurangnya dapat memberikan perbandingan asas kepada pemilihan 'special program' kami. Kedua anak kambing ini daripada 2 baka kami, si Putih (di mana kau sekarang agaknya....) dan Bandot... Tarikh kelahiran selang sehari (anak si Putih awal sehari..). Dan kini, masing-masing berusia seminggu.. Tetapi, perbezaan tumbesarannya agak ketara. Ternyata anak Si Putih kelihatan lebih berisi dan sihat.

Setakat ini anak-anak kambing ini masih bersama ibunya.. Kami akan biarkan sehingga 2 bulan, sebelum dipisahkan dan seterusnya dibesarkan mengikut lot-lot jantina. Cuma anak si Putih ini nanti akan kami asingkan untuk menyertai program tumbesaran khas, yang kami selia supaya ia boleh dipotensikan sebagai baka akan datang.

Wednesday, June 20, 2007

Pembangunan Yang Berterusan

Beberapa hari yang lalu kami dikejutkan dengan panggilan daripada Jabatan Haiwan, yang memberitahu permohonan bantuan kandang telah diluluskan. Sehubungan itu, Jabatan akan menghantar peralatan termasuk kayu, pasir, simen dan zink untuk pembinaan kandangn tambahan tersebut. Beberapa kemudian, datanglah lori yang membawa peralatan tersebut untuk kami.
Bantuan kandang tambahan dari Jab Haiwan

Kini, tugas kami tertumpu pula kepada pembinaan kandang baru. Bagi kami, merealisasikan pembangunan kandang tersebut dengan kadar segera adalah penting, sebagai komitmen dan ucapan terima kasih kami kepada Jabatan yang telah sudi memberikan bantuan.

Kerja merata tanah tapak kandang tambahan sedang dijalankan

Maka kelam kabutlah kami mencari tukang (nak tukang sendiri tak larat...), buat design, merangka kos dan sebagainya. Barulah tahu penangan kenaikan harga barangan, terutama yang melibatkan bahan asas logam, besi, dsb.. Memang harga barang telah melambung naik.. termenung kami melihat estimate awal kami tersasar.....

Kandang baru bakal dibangunkan disebelah kandang yang ada sekarang.. Mengikut perangkaan, kandang baru bakal menempatkan 8 kotak kandang yang boleh memuatkan 20-30 ekor setiap satu.

Tawaran Istimewa - Khas dari Projek Kambing FAD

Projek kambing FAD menawarkan :

1. Kambing Daging - berusia 6 bulan ke atas untuk sembelih
2. Kambing Baka* - berusia setahun setengah baka kacukan Boer
3. Susu Kambing Fresh - minum terus dikandang.
4. Susu Kambing Sejuk - susu yang kami sejukbeku
5. Tahi Kambing
6. Kulit Kambing

* bergantung stok.

Terkini Pakej Aqiqah :
a. Kambing sahaja - berusia secukup syarat aqiqah
b. Siap sembelih - complete bersih, dipotong siap untuk dimasak
c. Siap masak - Menu pilihan anda, di masak oleh tukang masak pengalaman, antaranya menu popular : beriani gam kambing, nasi bukhara kambus, gulai kambing, etc.

Kami juga menerima tempahan apa jua masakan (bukan kambing). Juga, untuk masakan kambing bukan aqiqah.

Akan datang :
1. Silaj Jagung - siap peram - untuk penternak.
2. Baja kompos - baja asas tahi kambing - kandungan special untuk pokok bunga
3. Barbeque slice - daging kambing yang dipotong khas untuk barbeque (disejukbeku)
4. Daging Prime - daging kambing qualiti tinggi, daripada kambing muda

Hubungi kami untuk tempahan atau pilih sendiri di kandang kami.. Hj Hasan (017-6735245), Fadli (012-2659892) atau Fairos (019-6564447).

Tuesday, June 19, 2007

Bandot - Naik Pangkat..!!

Kehilangan yang menyedihkan perlu dilupakan. Kami melihat ke hadapan dengan positif dan semangat kecemerlangan. Sementara menanti aspek keselamatan dipertingkatkan dan mencari baka pejantan sebagai pengganti.. nampaknya pejantan 'reserve' terpaksa diturunkan.

Bandot - kacukan AngloNubian-Jamnapari

Bandot merupakan pejantan baka kacuk AngloNubian dan Jamnapari, berusia hampir 2 tahun. Mempunyai bentuk badan yang baik, tinggi dan panjang. Kami telah menggunakan Bandot sebagai percubaan sejak beberapa bulan lalu, dan hasilnya beberapa betina telah bunting dan seekor telah melahirkan kembar 2. Walaupun saiz anak Bandot agak kecil berbanding si Putih, namun tahap kesihatannya adalah baik, aktif dan menjadi....

Bandot - SuperSub in action

Perancangan kami akan datang bakal menggunakan 2 pejantan. Kami cuba mengeluarkan produk kambing yang mempunyai badan yang tinggi dan panjang, disamping mempunyai isi yang gempal. Oleh itu, seekor pejantan Boer (yang terkenal dengan prestasi kegempalan) diperlukan untuk meningkatkan prestasi pengeluaran kami. Oleh kerana harga pejantan Boer adalah mahal, kami terpaksa menyiapkan prasarana keselamatan terlebih dahulu.

Menu baru

Beberapa minggu lepas, salah seorang dari kami telah melawat kandang kambing lain di Negeri Sembilan. Sambil melihat baka-baka yang dijual, kami sempat belajar beberapa perkara. Yang menarik perhatian kami, adalah menu makanan yang disediakan, yang mana kami bercadang untuk mencuba dikandang kami pula.

Menu baru ini adalah silaj jagung. Cara penyediaan agak mudah... dapatkan batang pokok jagung (kena pajak daripada ladang jagung berdekatan..), dipotong dengan saiz 1 inci (pakai mesin potong), kemudian sumbat dalam tong PVC padat-padat.. sebelum ditutup, masukkan garam dan gula secukup rasa.. :).. Peram selama 21 hari... maka jadilah silaj jagung yang cukup wangi dan menyelerakan.

Kami bertuah kerana terdapat beberapa peladang disekitar kampung yang menanam jagung secara kecil-kecilan. Tugas pertama, adalah membuat percubaan pertama menu ini. Namun, susah juga nak dapatkan tong PVC.. Katanya boleh dapat di Jabatan dengan harga RM65 setong.. Kalau beli dikilang harga lebih mahal, mencecah RM100... pergh.. mahalnya... Kalau pembaca mengetahui tempat yang lebih murah, silalah hubungi kami....

Dengan menu baru yang murah ini, kami bercadang untuk mengurangkan kos pemakanan. Setakat ini, pemakanan kami banyak bergantung kepada pallet Cargill dan rumput liar. Harga pallet semakin meningkat sejak beberapa bulan lalu, menyebabkan harga daging kambing naik melangit.

Kalau boleh mengikut peratusan, bagi pelan 100% feedlot, menunya adalah 20% pallet, 40% silaj dan 40% rumput napier atau rumput kuda. Bagi pelan semi-feedlot, 20% pallet, 40% silaj dan selebihnya makanan ketika dilepaskan. Doakan usaha ini berjaya....

Monday, June 18, 2007

Baka-baka terakhir Putih


Masih ada beberapa ibu kambing yang buntingkan baka si Putih. 3 hari lepas kami menerima kelahiran anak kambing betina ini, saiz cukup baik. Ibunya kacukan Saanen, mempunyai susu yang banyak (patutlah asyik tidur kekenyangan saja..)

Selama ini kebanyakan baka si Putih kami jual apabila mula berusia 6 bulan dan ke atas. Saiz badan yang gempal memang mendapat permintaan yang baik. Setakat ini baka si Putih cukup senang dijual. Selepas kehilangan baka utama, kami mula meneliti anak-anak si Putih, mencari mana yang berpotensi menjadi pejantan yang baik seperti bapa mereka. Kemungkinan kami akan jadikannya 'pejantan' reserve, untuk diselang selikan dengan baka utama.

Kriteria utama bagi pemilihan ini, mencari anak-anak yang mempunyai pertumbuhan dan pembesaran yang 'above average'. Anak-anak ini akan diasingkan dikandang 'special program'. Pemakanan dan urusan kesihatan akan dipantau, supaya dapat mengekalkan perkembangan mereka yang terbaik. Diharapkan program ini bakal mengeluarkan baka yang lebih baik daripada si Putih sendiri. Setakat ini ada 2-3 ekor menjadi perhatian kami...

Kehilangan Yang Menyedihkan

Telah lama tak update blog ini, kerana kesibukan yang tidak memberikan kesempatan. Moga-moga kami akan terus diberikan kesempatan untuk memberikan maklumat berguna dalam blog ini.

Beberapa minggu lalu, kandang kami telah dimasuki pencuri yang durjana. Akibatnya, si Putih, pejantan utama kami telah hilang bersama beberapa lagi kambing dewasa, jantan dan betina. Amat malang sekali, ia berlaku disaat cuti sekolah, di mana kami mendapat banyak permintaan dan pelanggan. Kejadian berlaku diwaktu malam, rasanya dilakukan oleh 5-6 orang. Mereka masuk ke kandang, menangkap dan mengikat kambing hidup-hidup, dan dipikul ke lori mereka yang sedia menanti tidak berapa jauh. Rasanya, curian mereka itu untuk market jualan baka.


Namun, kami menerima takdir ini dengan menyerah diri kepada Allah, yang Maha Pemurah lagi Penyayang. Mungkin ada sebab dan hikmah disebalik ujian ini.

Si Putih disepanjang khidmatnya kepada kami, mempunyai prestasi yang cukup baik. Selama setahun lebih menjadi pejantan utama, sebanyak lebih 60 ekor anak lahir dari bakanya, dengan peratus kematian yang cukup rendah. Saiz anak juga 'kus semangat'... Itulah si Putih, baka Boer F2, yang Allah telah pinjamkan sementara bagi membantu projek kami ini.

Kejadian ini membuat kami lebih memikirkan soal keselamatan kandang, dan terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih untuk itu. Cadangan kami, untuk membina pagar disekeliling kandang, dengan memasang alat penggera bunyi dan lampu. Juga, terdapat cadangan untuk kami membela angsa atau anjing (anjing agak sukar nak jaga berbanding angsa..). Doakan kami lebih bersedia dan semoga insiden tersebut tidak berulang lagi.