Friday, November 16, 2007

Beberapa maklumat untuk dikongsi bersama

Terima kasih kepada beberapa feedback pengunjung yang diberikan. Kami memang berharap blog ini akan menjadi satu medan perbincangan dan maklum balas mengenai penternakan kambing, berdasarkan aktiviti dan kajian secara praktikal dikandang kami.

Sebagai tambahan maklumat dalam topik susukan anak kambing anda, kami dapati adalah perlu menyuakan susu tambahan kepada anak kambing seawal mungkin, iaitu bermula beberapa jam selepas dia bersalin. Kalau dah lambat, kemungkinan besar dia tak akan minum. Satu lagi, pastikan puting dan botol susu sentiasa disterilkan.. untuk membuang saki baki susu basi. Caranya, dengan merendamkan botol dan puting susu dalam air panas. Susu basi mempunyai bakteria yang boleh bawa penyakit kepada anak kambing anda.. Diingatkan, jangan MALAS nak sterilkan botol susu anda. Cubalah susukan anak kambing anda, pasti anda akan berpuashati dengan resultnya...

Ramai bertanya tentang khasiat silaj. Apa yang kami sebutkan merupakan hasil secara praktikal dikandang kami. Untuk yang lebih saintifik, boleh lawati http://www.jphpk.gov.my/Malay/Agronomi/Silaj.htm , iaitu kajian yang dibuat oleh Jab Haiwan Perak.

Tuesday, November 13, 2007

Projek silaj mendapat nafas baru

Lama sungguh kami mencari-cari, akhirnya dapat juga berjumpa dan membuat perjanjian dengan sebuah ladang jagung, yang berjanji untuk membekalkan kami keratan batang jagung secara konsisten. Untuk itu, kami telah menambahkan bilangan tong silo menjadi 40 tong, dan bercadang untuk memulakan projek menghasilkan silaj sebagai sumber makanan alternatif kepada dedak palet.

Kami telah mencuba silaj dengan skala kecil dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan hasilnya... sungguh MEMBERANGSANGKAN... Kami dapati silaj mempunyai khasiat yang tinggi dan tidak jauh bezanya daripada dedak palet. Malah, oleh kerana harganya yang lebih murah, kami mampu memberikan lebih banyak kuantiti silaj kepada ternakan kambing kami menjadikan tahap kegemukkan ternakan menjadi lebih cepat.

Sebanyak 1 tan keratan batang jagung akan digunakan dan diperap dalam tong-tong silo kami, dan mengharapkan penggunaannya selepas 3 minggu. Berikut adalah cara-cara yang cukup mudah untuk membuat silaj jagung :

1. Kerat batang jagung pada kadar 1/2 inci (biasanya dimesin chopper)
2. Masukkan keratan jagung ke dalam tong silo (sebuah tong silo biasanya boleh memuatkan 50-60kg keratan jagung).
3. Campurkan 1kg Molas dan 1kg garam ke atas keratan jagung dalam tong silo tersebut.
4. Tutup tong silo ketat dan biar selama 3 minggu sebelum digunakan.

Nota : Kami mendapat saranan untuk menggunakan EM sebagai salah satu kandungan, namun masih belum mendapat sebarang feedback daripada pengusaha EM mengenainya.

Kami juga sedang mencuba menu baru berasaskan hasil buangan industri seperti hampas kelapa dan soya. Terima kasih kepada beberapa individu yang telah sudi berkunjung ke ladang kami, dan telah sama-sama memberikan tunjuk ajar dan idea terhadap usaha ini. Insya-Allah, jika ujian praktikal yang kami buat sendiri kepada ternakan kami menunjukkan hasil yang positif, kami akan perturunkan menu tersebut untuk panduan umum.

Monday, November 5, 2007

Susukan anak kambing anda..!!

Sebaik lahir, anak kambing amat memerlukan susuan ibu yang mencukupi. Sekiranya ia menghadapi masalah, besar kemungkin anak kambing tersebut akan mati atau terbantut pembesarannya. Berdasarkan pemerhatian kami, susu adalah makanan terawal yang perlu dipastikan diminum oleh anak kambing. Lebih banyak susu yang dapat diminum, lebih cepat pembesaran anak kambing tersebut.

Anak kambing yang baru lahir perlu susu ibu yang mencukupi

Selama ini, kami hanya bergantung dengan susu ibu kambing. Selalunya ibu kambing yang mempunyai susu yang banyak akan mempunyai anak-anak kambing yang sihat dan besar. Kami sedang mencuba satu teknik 'susukan anak kambing'.. Kami cuba berikan susu tepung sebagai supplement tambahan kepada susu ibu yang sedia ada. Dulu, hanya kambing bermasalah susu yang kami berikan susu tepung ini.

Setiap anak kambing akan diberikan susu tambahan menggunakan botol

Bagi teknik ini, walaupun sudah menyusu dengan ibu mereka, kami akan cuba suakan lagi anak-anak kambing dengan susu tambahan. Targetnya, supaya anak kambing mengambil susu sebanyak yang mungkin. Kami sedang memerhati sama ada ianya akan membuahkan hasil yang lebih baik.